1/12/2014

Sungai Tulin : Sibuti ( Bekenu Bahagian Miri )




Dalam pemerintahan tradisional, wilayah-wilayah yang berada di dalam kekuasaan Brunei dibahagikan kepada tiga iaitu sungai Kerajaan, sungai Kuripan dan sungai Tulin. Tiap-tiap wilayah tersebut dimiliki oleh pembesar-pembesar Brunei dan akan dijaga oleh wakil-wakil yang dilantik oleh mereka. Walaupun sejarah Sibuti sebelum abad ke 19 tidak diketahui melainkan penemuan tulang-tulang manusia yang berusia puluhan ribu tahun di Niah, Sibuti sebenarnya sebahagian dari sungai tulin.


| Sungai Tulin Milik Pangeran Sulaiman |


Pemilik sungai tulin Sibuti terawal yang dapat dikesan melalui rekod-rekod Sarawak ialah Pangeran Sulaiman Damit. Pada 1875, Pangeran Sulaiman telah menggadaikan sungai tulin Sibuti kepada Pangeran Bahar. Namun semasa penyerahan sungai tulin Sibuti kepada kerajaan Brooke pada 1881, kawasan ini dimiliki oleh Pangeran Pemancha Muhammad Salleh. Melalui dokumen bertarikh Disember 1913, berlaku pertikaian mengenai hak bayaran pampasan penyerahan sungai tulin diantara keturunan Pangeran Sulaiman iaitu Pangeran Kola, Pangeran Daud serta Pangeran Reshad dengan keturunan Pangeran Pemancha  Muhammad Salleh iaitu Pangeran Haji Muhammad dihadapan Ketua Hakim Sir W.H Hynman Jones.


| Raja Aban Jau Menyerang Sibuti |


Pada zaman ini, iaitu sekitar tahun 1876, Pangeran Sulaiman dan penduduk Sibuti telah diserang oleh pemimpin Sebop bernama Aban Jau dari Tinjar, Baram. Walaubagaimanapun serangan ini berjaya dipatahkan kerana Pangeran Sulaiman telah bersiap sedia dengan membina hadangan. Menurut satu catatan, serangan ini dilakukan oleh Raja Aban Jau sebagai tindakan membalas dendam di atas keengganan pembesar tempatan bernama Orang Kaya Ladong dan sahabatnya Lebaai untuk menyerahkan beberapa hamba abdi yang melarikan diri ke Niah dan Sibuti. Dalam serangan itu tiga orang penduduk Sibuti telah menemui ajal iaitu Sunan seorang Sebauh, Mat Bakir seorang Melayu Sarawak dan Rebas seorang hamba kepada Pangeran Sulaiman. Awang Singa pula mendapat kecederaan di kaki.


| Perdagangan Getah Perca |


Catatan lain turut menyebut, berlaku perbincangan mengenai urusan jual beli getah perca di antara penduduk yang berada di bawah pentadbiran Sarawak dari Bahagian Bintulu dan penduduk Sibuti yang berada di bawah pentadbiran kesultanan Brunei.

Dua Pangeran dan dua Penuroh menaikkan bendera Sultan dan Pemancha. Mereka membawa watikah yang dicop mohor oleh pembesar Brunei dan Pangeran Mat'alam.

| Penghijrahan kaum Kedayan ke Sibuti |


Jika diambil dari catatan Benedict Sandin, penghijrahan kaum Kedayan ke Sibuti diketuai oleh Penghulu Haji Abdul Gapor dari Brunei. Benedict Sandin turut menulis yang selepas tiga tahun dilantik sebagai Penghulu kaum Kedayan, ramai orang Kedayan dari Brunei berhijrah secara besar-besaran ke Sibuti dan bercampur dengan kaum Melayu yang telah ada di situ. Sebelum kedatangan orang Kedayan ini selain Melayu telah ada kaum Dali, Miriek dan Bakong yang telah berpindah ke Sibuti sebelumnya dan menurut tulisan beliau, mereka ini beragama animisme. Tom Harrison pula ada menyebut yang mereka ini diislamkan oleh orang Kedayan.

Selepas kekuasaan Brunei berakhir di Sibuti, kerajaan Brooke telah melantik Penghulu Haji Abdul Gapor sebagai penghulu kaum Kedayan, manakala ketua masyarakat Sibuti dipegang oleh kaum Badami ( Bakong-Dalek-Miriek ) iaitu Orang Kaya Damong. Selepas kematian Orang Kaya Lubok pada August 1919, ketua masyarakat Sibuti diambil alih oleh Orang Kaya Janai. Orang Kaya Janai merupakan antara individu terpenting yang memberi kebenaran kaum Iban untuk berhijrah ke Sibuti pada awal tahun 1920an. Melalui perjanjian yang dipersetujui, kaum Iban boleh berhijrah ke Sibuti dan sempadan tanah yang boleh mereka terokai ialah di atas kawasan sungai Bakas kerana tanah-tanah selepas sungai Bakas ialah milik-milik orang Kedayan.

Lembah sungai ini pada asalnya dirizab oleh Raja Charles Brooke untuk kaum Kedayan, Melanau dan kaum lain, malah termasuk untuk kaum Dusun iaitu kaum yang ramai terdapat di Brunei dan Sabah walaupun mereka (Dusun) tidak pernah wujud di sana.


Dalam satu sumber lain, pemimpin yang bertanggungjawab membawa orang Kedayan ke Sibuti ialah Abdul Gapar bin Asar (1876-1932). Kubur beliau masih boleh ditemui di Tanjung Belipat, Bungai Sibuti. Menurut sumber ini, penghijrah Kedayan ini berhijrah dari Brunei melalui jalan pantai dengan berjalan kaki. Tidak dapat dipastikan kawasan asal mereka di Brunei tetapi sumber setempat mengatakan yang Kedayan Sibuti ini berasal dari Gadong Brunei, manakala dalam sumber lain mereka ini mungkin berasal dari Tutong Brunei iaitu kawasan Bukit Panggal. Dari Sibuti sebahagian kaum Kedayan berhijrah ke Similajau di Bintulu diketuai oleh Haji Aim setelah mendapat perkenan Raja Brooke.

*** ada tiga nama berlainan berkenaan pemimpin yang bertanggungjawab membawa kaum Kedayan ke Sibuti iaitu Penghulu Haji Abdul Gapor, Haji Abdul Gapar bin Nayan dan Haji Abdul Gapar bin Asar.

Satu persoalan sering bermain di benak penulis, mungkinkah pengarang Syair Yang Dipertuan Sultan Muhammad Jamalul Alam, Pehin Siraja Khatib Abdul Razak Hasanuddin pernah menetap di Sibuti ? Ini kerana di dalam buku Brunei : Traditional and Monarchic Culture and History menyebut beliau pernah menjadi Imam di Sibuti sebelum kembali ke Brunei dan dilantik sebagai Pehin Siraja Khatib pada tahun 1918.




  1. River Right, Interesting Appeals from Brunei 4 December 1913: National Library of Singapore 
  2. The Sarawak Gazette No. 780 : 1 November 1919
  3. Britain, the Brookes and Brunei : Nicholas Tarling
  4. Sarawak Museum Journal  - Iban (Bornean People) 1994
  5. The Life of The Longhouse : An Archeology of Ethnicity - Peter Metcalf



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.