11/07/2013

Kedayan di Bahagian Lundu Dan Bahagian Kuching Sarawak


Secara umumnya kawasan tradisi penempatan kaum Kedayan ialah di Negara Brunei Darussalam, di Wilayah Persekutuan Labuan, di Bahagian Pantai Barat Sabah terutamanya di sekitar Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu dan Papar. Manakala di Sarawak pula kawasan yang sinonim dengan kaum Kedayan ialah di Bahagian Limbang dan Lawas, di Bahagian Miri terutamanya di Daerah Subis, dan di Bahagian Bintulu di sekitar Kuala Nyalau, Similajau dan Kampung Jepak.

Walaubagaimanapun, beberapa rekod yang diperolehi sama ada melalui rekod peribadi Raja James Brooke mahupun rekod-rekod mahkamah berkaitan pertikaian hak milik tanah dan kampung membuktikan yang kaum Kedayan sebenarnya pada suatu ketika dahulu pernah membuka beberapa penempatan nun jauh ke selatan iaitu di Bahagian Kuching dan Bahagian Lundu, Sarawak.


Bahagian Kuching

  1. Menurut rekod Brunei, pertabalan Sultan Tengah sebagai Sultan Sarawak turut membawa bersama baginda sejumlah 1000 orang hulubalang yang terdiri daripada puak Sakai, Kedayan dan penduduk Pulau Bunut. Sesetengah pendapat menyebut yang penghijrah ini membuka penempatan di sekitar kawasan Sungai Bedil di Kuching.
  2. Kampung Sungai Lumut berdekatan dengan Kampung Buntal di Santubong juga di buka oleh kaum Kedayan melalui ketua mereka Juragan Landak atas kebenaran pemerintahan Brooke. Beliau merupakan Kapten Kapal Diraja Brooke.

Bahagian Lundu

  1. Rekod peribadi James Brooke menyebut yang Kampung Siru dan Kampung Sematan dibuka oleh kaum Kedayan dari Brunei. Pada asalnya penghuni kampung ini hanya sekitar 7 orang sahaja tetapi telah meningkat kepada lebih 30 orang dan telah berlaku kahwin campur dengan kaum Melayu dan kaum Dayak. Jurnal tersebut ditulis pada Mei, 1842. Berkemungkinan kampung Siru dan Kampung Sematan telah dibuka sekitar awal 1800an lagi.
  2. Kampung Rambungan pula dibuka oleh dua bersaudara dari Bukit Sari iaitu Samah dan Radat. Juragan Landak yang membuka Kampung Sungai Lumut merupakan keturunan mereka ini. Dibuka sekitar 1900an.
  3. Kampung Sampadi Lundu dibuka oleh Haji Gherib dan pengikutnya pada awal tahun 1902. Juga penghijrah dari Brunei. Sejarah sebenar kampung ini mulai diketahui umum apabila berlaku kes mahkamah dan saman oleh penduduk kampung.

Mungkinkah banyak lagi kampung di Sarawak ini diasaskan oleh kaum Kedayan ? Wallahu'alam. Sebagai penutup kata, penulis ingin berkongsi catatan James Brooke berkaitan kaum Kedayan ini :-

Mereka amat elok perilakunya. Dihormati kerana kejujuran mereka, kerana amat mudah berurusan dan kerana sifat merendah diri mereka sama ada di dalam pergaulan dan kehidupan seharian. 

Bagaimana dengan kedudukan Kedayan dari bahagian-bahagian lain di Sarawak ? Bagaimana dengan laporan akhbar terbitan Berita Harian dengan tajuk : Misteri Etnik Kejaman 11 Januari 2010 misalnya menyebut majoriti penduduk pekan Belaga terdiri dari kaum Melayu Kedayan ? Penulis sememangnya tahu sedikit berkaitan dengan ada kaum Kedayan di pekan Belaga kerana mempunyai saudara jauh dari purih Awang Kassim yang melahirkan Awang Jemain dan Awang Zamzam. Penulis pernah bersama arwah datuk dan adik beradik datuk mengadakan lawatan muhibbah ke kampung Melayu Belaga pada tahun 1999, tetapi pada ketika itu semangat untuk mengumpul sejarah kaum Kedayan belum wujud dalam diri. 

Ada sedikit penyesalan .... tetapi insya Allah selagi ada yang mengaku dirinya kaum Kedayan selagi itulah kaum Kedayan akan kekal wujud walau di mana pun mereka menetap dan beranak-pinak. 






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.