11/11/2013

Tarian Kedayan




Tidak banyak yang diketahui bagaimanakah bentuk tarian asli kaum Kedayan yang sebenarnya. Adapun yang agak popular masa kini ialah tarian Anding, Aduk-Aduk, Dang Mengalai dan Alai Bubu. Disesetengah tempat juga kedapatan tarian Limbai Sedaman (Lawas), Raja Barangkat (Limbang), Alun Bungai (Sibuti), Cuk Surapit (Beaufort), Camchambi dan Adai-Adai (Labuan).

Adai-Adai pada hakikatnya bukanlah tarian asli kaum Kedayan tetapi merupakan tarian yang diambil dari kaum Brunei (umpamanya pernah dipersembahkan oleh SK Kuala Baram II bagi mewakili Bahagian Miri dalam sambutan Kemerdekaan oleh JPN Sarawak. Penari-penarinya lengkap berpakaian serba hitam, berselendang merah, dan baju dihiasi kubamban atau giring-giring - baju tradisi Kedayan KLIK SINI). Samalah juga halnya Dang Mengalai bukanlah tarian asli kaum Brunei tetapi berasal dari kaum Kedayan. Begitu juga perihalnya akan tarian Alai Bubu, menurut catatan dalam Sarawak Museum Journal, ia merupakan tarian asli kaum Kedayan tapi di Sarawak ia juga turut ditarikan oleh kaum Melanau manakala di Sabah kaum Bisaya dan kaum Brunei juga ada yang mahir menarikan tarian ini.

Anding pula juga terdapat dalam budaya tarian kaum Bisaya. Menariknya salah satu lagu Anding Bisaya diberi nama Lagu Kedayan. Dan lagi jika di Labuan wujud  Camchambi, masyarakat Melayu Sarawak juga mempunyai lagu yang sama cuma digelar Com Chombi dan yang membezakannya hanyalah dialek sebutan. Berlaku silang budaya atau sememangnya tradisi Melayu Sarawak turun temurun ? Perlu diingat, sebahagian pengkaji mendapati sesetengah masyarakat Melayu Sarawak itu bernenek moyangkan kaum Kedayan, sebahagian berketurunan Minangkabau, sebahagian berdarah Dayak yang memeluk Islam dan sebagainya.




Berikut ialah beberapa catatan ringkas berkaitan dengan tarian-tarian kaum Kedayan ini.

| Tarian Dang Mengalai |


Geoffry C. Gunn :-


Contoh tarian teater ialah alai temaruk kaum Tutong, Alai Sekap kaum Belait, Dang Mengalai dan Bertutun kaum Kedayan. Menurut seorang pemerhati, tarian ini amat dramatik bentuknya dan amat tersusun dari segi plot cerita dan wataknya. Contoh Tarian Dang Mengalai KLIK SINI


| Tarian Anding |


Burbridge (1896) menyebut :-

Dalam tarian kaum Kedayan, sepasang atau dua pasang perempuan dan lelaki akan menari, di atas sehelai tikar yang dibentangkan, pergerakan kaki yang diseret dengan agak perlahan dan teratur, manakala tangan dengan lemah gemalai digerakkan ke semua arah. Salah seorang penari mengerakkan sapu tangan dan menukar-nukarkannya dari satu tangan ke satu tangan yang lain sehinggalah sapu tangan itu hilang dari pandangan.

Kurik Kundi Merah Saga : Kumpulan Pantun Lisan Melayu (DBP) :

Tarian Anding kaum Kedayan dipercayai ditiru daripada pergerakan makhluk halus yang ditemui oleh Awang Linong yang bertapa di Gunung Siguntang.

Pengalaman peribadi penulis yang sempat melihat tarian ini dalam bentuk yang penulis kira hampir asli namun dengan nama lain iaitu Mengalai ialah semasa upacara perubatan kampung. Di dalam upacara ini, si dukun dan si pesakit juga menari menggunakan sapu tangan dengan muka ke dua-duanya bertutup, diiringi bunyi kulintangan dan gendang serta sebuah mayang pinang digantung di tengah dan tempat persembahan dikelilingi gantungan bunga berlainan jenis. ( 1991 Bekenu Sibuti ).

Contoh Tarian Anding KLIK SINI


| Tarian Aduk-Aduk |


Tarian ini agak popular dikalangan kaum Kedayan di Brunei Darussalam terutamanya yang berasal dari daerah Tutong. Namun sejak kebelakangan ini tarian Aduk-Aduk sudah mula dipelajari dan dipersembahkan oleh kaum Kedayan dari luar Brunei Darussalam. Pergerakan tarian ini menyerupai silat, dan penari akan mempamirkan kebolehan, dan kecergasan serta kecekapan memalu dua biji tempurung kelapa sambil diiringi muzik kulintangan dan gendang.

;Selain daripada tarian yang disebutkan di atas, kaum Kedayan juga mempunyai rentak zapinnya yang tersendiri dan diantara yang amat popular dikalangan mereka ialah Japin Yadan Sikin. Sebagai penutup tulisan kali ini, penulis menyertakan sebuah video yang diperolehi melalui laman Facebook Kadayan People iaitu orkestra Kulintangan Sedaman yang memainkan lagu Yadan Sikin.







  1. The Native of Sarawak and British North Borneo - Henry Ling Roth, Hugh Brooke Low. 1896
  2. Language, Power and Ideology of Brunei Darussalam - Geoffry C. Gunn. 1997
  3. Kurik Kundi Merah Saga : Kumpulan Lisan Pantun Melayu (DBP) Mohd Thani Ahmad 1990.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.