12/02/2013

Puteri Lela Menchanai


Siapa sebenarnya Puteri Lela Menchanai? Terdapat banyak versi berkenaan asal usul baginda. Ada yang mengatakan baginda puteri kepada Betara Suluk Datu Gamban atau Datu Kemin, ada versi menyatakan baginda berasal dari Makassar, ada versi menyatakan baginda berasal dari tengah lautan, ada versi baginda berasal dari Jawa dan ada versi juga yang menyatakan baginda sebenarnya seorang puteri dari Kerajaan Amuntai iaitu Puteri Kameloh Putak Janjulen Karangan.

Puteri Lela Menchanai atau Puteri Chanai Lela merupakan seorang puteri yang amat popular dalam legenda asal usul kaum Kedayan. Walaubagaimana pun untuk tulisan kali ini, penulis tidak ingin merungkaikan satu persatu versi-versi di atas, cuma ingin menulis berkenaan siapa Puteri Lela Menchanai seperti yang kedapatan di dalam Syair Awang Semaun.

SYAIR AWANG SEMAUN

Pengembaraan Sultan Bolkiah (sinopsis)

Setelah meningkat dewasa, Sultan Bolkiah memohon perkenan ayahnya, Juru Shah Bandar Damang Libar Daun yang memerintah Jawa untuk belayar ke Brunei bersama-sama dengan saudara perempuannya Palingkam Cahaya.

Dalam pelayaran ke Brunei, rombongan Sultan Bolkiah bertemu dengan Awang Asmara ( anak Awang Sinuai ) di tengah lautan. Selepas memperkenalkan diri masing-masing Awang Asmara dan Sultan Bolkiah belayar ke Pulau Silangur untuk meminang seorang puteri rupawan.

Awang Asmara menghadap Sultan Nasuran dan meminang Puteri Lela Menchanai untuk saudaranya Sultan Bolkiah, dan baginda bersetuju.

Mereka meneruskan pelayaran ke Brunei dan di dalam pelayaran tersebut bahtera mereka di badai ombak dan angin yang kuat sehingga sampai ke Sulu. Di sana mereka bertemu Ong Sunting dan Sultan Suluk. Sultan Bolkiah, Ong Sunting dan Sultan Suluk belayar ke Brunei.

Awang Asmara dianugerahkan gelaran Pangeran Kesuma Ningrat. Sultan Suluk kembali ke Sulu, Sultan Bolkiah ke Gua Landing dan Awang Asmara ke Butir.


Walaupun begitu, geneologi Sultan Bolkiah di atas di dapati bertentangan dengan geneologi yang disepakati umum iaitu baginda merupakan putera kepada Sultan Sulaiman, manakala Damang Libar Daun pula dikatakan hidup sezaman dengan Alak Bertatar. 

Dalam catatan lain terutamanya di Filipina bila membincangkan berkaitan keturunan Raja Sulaiman (Raja Sulaiman bin Raja Lontok bin Sultan Bolkiah) raja terakhir Manila, Puteri Lela Menchanai dikatakan puteri kepada Sultan Amirul Umara iaitu Sultan Sulu yang memerintah pada tahun 1505 - 1527. Sesetengah pengkaji menyatakan yang Amirul Umara merupakan gelaran Arab kepada Maharaja di Raja, dan sesetengah geneologi Sulu tidak menyebut nama pemerintah ini kerana dipercayai, baginda sebenarnya Sultan Bolkiah itu sendiri.

Namun geneologi ini juga menimbulkan persoalan kepada penulis, jika Raja Lontok ialah putera kepada Sultan Bolkiah dan Puteri Lela Menchanai, bagaimana ia berlaku? Ini kerana dalam rekod popular Sultan Bolkiah dan Puteri Lela Menchanai mangkat di dalam pelayaran balik ke Brunei selepas upacara perkahwinan selesai.

Sultan Nasuran pula merupakan anak kepada Paduka Maulana Maha Sri Sultan Shariff Hashim Abu Bakar, cucu kepada Shariff Zainal Abidin iaitu pemerintah Sulu. Dalam versi ini Puteri Lela Menchanai merupakan isteri ke dua Sultan Bolkiah, manakala puteri kepada Datu Gamban dari Seluang, juga di Sulu merupakan isteri pertama.


Puteri Lela Menchanai Versi Kedayan Individu Berlainan ?


Ini hanyalah pendapat peribadi penulis. Memandangkan dalam versi legenda kaum Kedayan, puteri Lela Menchanai atau Chanai Lela dikatakan berasal dari Tanah Jawa, mungkin Sultan Bolkiah yang dimaksudkan ialah Nakhoda Ragam putera kepada Demang Lebar Daun. Demang Lebar Daun ini berpindah ke Tanah Jawa, berkahwin dengan wanita Jawa, melahirkan Nakhoda Ragam dan Palingkam Cahaya. Nakhoda Ragam ini, tidak pernah dicatat menjadi sultan Brunei. 

Nakhoda Ragam setelah dewasa berpindah kembali ke Brunei, dan jika diambil kira status beliau sebagai anak raja, sudah tentu beliau akan diiringi oleh ramai pengikut-pengikut setia untuk membuka penempatan di kawasan baharu. Jadi tidak mustahil jika rombongan ini merupakan nenek moyang kepada sebahagian daripada orang Kedayan sekarang.

Nota :

Sultan Bolkiah dalam versi Syair Awang Semaun hidup sezaman dengan Alak Betatar, membesar di Tanah Jawa dan dalam versi ini baginda dan Puteri Lela Menchanai tidak mangkat dalam perlayaran di lautan, malah sampai ke Brunei dan menetap di kawasan Gua Landing. Manakala versi rasmi pula menyebut yang Sultan Bolkiah mangkat dalam perlayaran manakala Puteri Lela Menchanai membunuh diri.

Wallahu'alam. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.