Menurut Pehin Orang Kaya Amar Diraja Dato Seri Utama Haji Awang Muhd. Jamil Al Sufri dari Pusat Sejarah Brunei, gelaran Orang Kaya merupakan satu-satunya gelaran tunggal yang diterima oleh kaum Kedayan. Pada kebiasaannya, gelaran ini akan diperolehi setelah berbuat jasa, atau disebabkan sifat-sifat taat setia, kepahlawanan dan keperwiraan yang ditunjukkan oleh individu tertentu.
Dalam Sejarah Brunei, beberapa individu Kedayan yang dikesan menggunakan gelaran Orang Kaya ialah seperti berikut :-
- Orang Kaya Harimau Padang Taring: Beliau merupakan ketua kaum Kedayan yang menetap di Pasir Jerudong. Beliau juga merupakan panglima kepada Sultan Saiful Rijal. Semasa berlindung di Jerudong inilah Sultan Saiful Rijal mengahwini seorang perempuan Kedayan yang bernama Dayang Arfah. Sumbangan terbesar beliau ialah membantu Bendahara Sakam menghalau Sepanyol keluar dari Brunei.
- Orang Kaya Kassim : Beliau merupakan anak kepada Sultan Saiful Rijal. Bersaudara dengan Sultan Muhammad Hassan. Pernah ditawar untuk dianugerahi gelaran Cheteria iaitu Pangeran Anak tetapi beliau menolak dengan alasan dia seorang Kedayan. Diberi gelaran Orang Kaya.
- Orang Kaya Besar Imas : Anak kepada Orang Kaya Kassim. Bersaudara dengan Pangeran Temenggong Sahibul Bahar Abdul Rajid. Orang Kaya Besar Imas terkenal di dalam peristiwa perang saudara di antara Sultan Abdul Mubin dengan Sultan Muhyiddin sebagai perancang utama.
- Orang Kaya Seri Setia Abdul Rashid, Orang Kaya Aman, Orang Kaya Dullah ( salah seorang Menteri Empat zaman Sultan Hashim ), Orang Kaya Harimau Padang Haji Mumin dan ramai lagi.
Disamping itu menurut informan yang diperolehi melalui laman sesawang Facebook yang beliau kongsikan di dalam kumpulan Generasi Kadayan, gelaran-gelaran lain bagi kaum Kedayan ialah :-
- Orang Kaya Bandar
- Orang Kaya Sura
- Orang Kaya Kesuma
- Orang Kaya Maharaja Dinda
- Orang Kaya Seri Pahlawan
Disamping itu kedapatan juga gelaran Datu-Datu seperti Datu Panglima, Datu Ratna, Datu Mahawangsa, Datu Kerna, Datu Seri Laila, Datu Setiawan dan Datu Harimau Alam. Walaubagaimanapun, gelaran Orang Kaya bukan gelaran warisan turun temurun dari seorang bapa kepada anak melainkan perlu berbuat jasa untuk mendapatkannya.
Di dalam Silsilah Raja Brunei tercatat :-
Di dalam Silsilah Raja Brunei tercatat :-
Pasal bermula apabila raja-raja ingin berbuat menteri serta hulubalang atau pegawai hendaklah pertama orang berbangsa, kedua orang yang bijaksana lagi berakal, ketiga orang berani dan lagi perkasa pada barang pekerjaannya. Keempat hendaklah orang itu takut akan rajanya dan hormatnya.
Dan juga disebut :-
Jikalau ada pada ia orang itu kurang bangsanya tetapi ada padanya berani, bangsawan dan perkasa maka digelar akan ia Johan Pahlawan dan Hamzah Pahlawan dan Lela Pahlawan dan Indera Pahlawan. Jikalau orang itu teguh akan setianya dan takut akan Tuhannya maka digelar akan ia Setia Wangsa, dan Setia Pahlawan dan Setia Raja dan Setia Lela dan barang sebagainya.
Di dalam Silsilah Raja Brunei ada juga disebut tatacara bagaimana seseorang itu dianugerahkan pangkat dan gelaran atau dianugerahkan jawatan. Yang ada disebut ialah jawatan Penyurat Kedayan.
Dan menggelar mudim diberi kemitan budak seorang, tiada lagi persalinan dan demikian lagi berbuat Penyurat Gadong dan Pengarah Di Gadong, dan Bendahari Penyurat Kedayan semuanya diberi kemitan seorang Pekayuh serta membawa sirih.
- Silsilah Raja-Raja Brunei :- P.L Amin Sweeney. Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.