1/05/2014

Misteri Asal Usul Kaum Kedayan | Bahagian Dua


Penulis : Perlu diingatkan bahawasanya penulis hanya mengumpul rekod-rekod lama dan segala yang tertulis di dalam blog ini hanyalah ulasan dari kajian-kajian lama. Jika ada kesilapan di mana-mana bahagian dalam tulisan penulis memohon maaf dan harap dapat diperbetulkan.


Kaum Kedayan Kacukan Brunei - Jawa |


Jika dalam bahagian satu, penulis ada menyebut perihal pengikut Raden Angsuka Dewa, Betara Majapahit yang digadaikan kepada Raja Alak Bertatar setelah kalah bersabung ayam dengan Awang Sinuai dan kisah pengikut Puteri Lela Menchanai @ Chanai Lela kali ini penulis akan menyentuh mengenai kisah asal usul kaum Kedayan berdasarkan legenda Bukit Telanai Brunei.

Pada zaman Sultan Bolkiah memerintah baginda mempunyai seorang Panglima yang juga berasal dari keturunan diraja. Panglima ini telah berkahwin dengan seorang gadis jelita dari Tanah Jawa. Panglima ini amat suka bersukan terutamanya bermain gasing dan juga bersabung ayam. Gua Harimau yang terdapat di Bukit Telanai dikatakan dibina oleh beliau dan ianya merupakan sebuah terowong bagi membolehkannya berada di mana-mana di antara Bukit Telanai dan Bukit Sinarubai. Walaubagaimanapun, Bukit Telanai yang berada di antara Bandar Seri Begawan dan Tutong itu telahpun diratakan untuk projek lebuh raya. Kaum Kedayan dikatakan keturunan Panglima dan gadis Jawa tersebut.

| Kaum Kedayan Keturunan Orang Jawa Dari Majapahit Yang Berkedai-Kedaian |

Menurut satu sumber yang diberikan oleh seorang informan dari Sibuti, Bahagian Miri Sarawak, kaum Kedayan ini merupakan kaum yang berasal dari Majapahit. Mereka dinamakan sebagai kaum Kedayan kerana pekerjaan asal mereka setelah tiba dari Majapahit ialah sebagai penjaga kedai-kedai di Brunei. Mereka kemudiannya disebut orang berkedai-kedaian yang akhirnya menjadi Kedayan.

| Kedayan Ada Pertalian Darah Dengan Datu Merpati Jepang? |

Datu Merpati Jepang yang amat terkenal di kalangan masyarakat Melayu Sarawak di dalam satu geneologi tercatat bahawa wujud pertalian darah diantara mereka. Geneologi tersebut menulis, Perbaita Sari mempunyai putera bernama Adipati Merpati dan berkahwin dengan Dayang Suri @ Datu Permaisuri puteri kepada Raja Jarum lalu berputerikan Dayang Seri Bulan. Dayang Seri Bulan mempunyai abang  iaitu Datu Merpati Jepang. Dayang Suri berkahwin dengan Sang Aji Kala raja Kedayan Brunei dan berputerakan antaranya Pateh Leila, Pateh Sangkuna, Awang Semaun, Pateh Pahit dan Alak Bertatar.
Dalam geneologi tersebut Pateh Leila dicatatkan sebagai keturunan Kedayan. 

Walaubagaimanapun, penulis tidak pasti akan kesahihan geneologi di atas namun sekadar ingin berkongsi apa yang penulis baca dan perolehi secara tidak sengaja semasa mencari maklumat berkaitan Sang Aji Brunei. Benar atau tidak atau sekadar 'akun-akun' wallahu'alam.


| Petani Yang Diimport Dari Jawa Untuk Memakmurkan Brunei |


Sultan Bolkiah semasa berlabuh di Tanah Jawa terdengar akan kekayaan dan kemakmuran pulau tersebut. Penanaman padi juga amat subur di sana. Brunei pada ketika itu walaupun agak terkenal di Nusantara, namun dari segi bidang pertanian, Brunei amat jauh terkebelakang. Atas sebab itu, Sultan Bolkiah telah mempelawa petani-petani Jawa untuk mengajar penduduk Brunei bagaimana cara untuk bertani dan bercucuk tanam. Mereka ini ditempatkan di Pasir Jerudong. 

Begitulah, empat kisah asal usul Kedayan yang mempunyai kaitan dengan Jawa.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.