Setiap bangsa di dunia ini mempunyai tradisi lisan masing-masing sama ada yang berbentuk teater, nyanyian, diiringi muzik atau tidak, kaum Kedayan juga sedemikian. Jika di Tanah Melayu ada tradisi Tok Selampit dan Awang Batil, kaum Brunei pula dengan Diang Dangannya, kaum Kedayan memiliki adat Balabai atau Labai.
Cerita-cerita Balabai atau Labai pada kebiasaannya berkisar kepada kehidupan seorang hero lagenda yang gagah perkasa dan mempunyai pelbagai bentuk kesaktian. Labai Kedayan kebisaannya tidak diiring alat muzik dan Palabai hanya akan menceritakan sesuatu kisah itu dengan nada suara yang cepat.Di dalam tradisi Balabai Kedayan beberapa cerita diperolehi antaranya ialah :
- Kamaruddin I
- Kamaruddin II
- Barajung
- Anak Tamanggung
- Dandang Si Malai Barajung
- Sultan Muda Bataman di Bukit Siguntang
Di antara kesemua Labai di atas, Labai Kamarrudin lebih popular dan telah dibukukan dan dijadikan salah satu teks sastera klasik bagi pelajar di Negara Brunei Darussalam. Latar tempat di dalam Hikayat Awang Kamaruddin ialah di Bukit Sinarubai, Bukit Siguntang di Sumatera, Tanah Jawa, Negeri Timur dan Baram.
- Bukit Sinarubai Brunei - sebuah perkampungan kaum Kedayan yang juga tempat asal Lamang Labai.
- Bukit Siguntang - Tempat Lamang Labai menuntut ilmu Gadung Batu
- Tanah Jawa - tempat asal Dang Kasuma yang menjadi isteri kepada Lamang Labai, bekas tunangan Anggayan Damit yang beliau culik. Tempat asal Tuan Puteri Bongsu Kumala Jawa isteri kepada Awang Kamaruddin.
- Hulu Banjarmasin - tempat bertapa Awang Kamaruddin.
- Kuala Baram - tempat bertapa Dang Kumala.
Hikayat Awang Kamaruddin juga memaparkan akan kehandalan wanita di dalam peperangan. Ini ada diceritakan di dalam bab Dang Kumala bersama saudara mara perempuan mereka iaitu Dang Siti Kumala Indera Sakti, Dang Dara, Dang Darni, Dang Bongsu dan Dang Indah Bulan turut berperang membantu Awang Kamaruddin di Tanah Jawa.
Apa yang pasti cerita peperangan di dalam Hikayat Awang Kamaruddin banyak terjadi di Tanah Jawa, Bukit Siguntang dan Bukit Mahameru. Walaupun sekadar cerita panglipur lara namun ianya juga menjadi sebahagian adat dan budaya serta tradisi sastera lisan Kedayan yang tinggi nilainya.
Sumber:
- Sastera Melayu dan Tradisi Kosmopolitan DBP KPM 1987
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.